Allah telah berfirman:
“Makanlah dari yang baik (halal) dan kerjakanlah amalan yang saleh.”
(al-Mu’minun: 51)
Tuhan telah memerintah kita menahan barang-barang yang baik, sebelum
membuat amalan yang saleh. Makanan yang baik, maksudnya makanan yang
halal.
Allah telah berfirman lagi:
“Janganlah setengah kamu, memakan harta setengah yang lain dengan cara kebatilan.” (al-Baqarah: 188)
Berfirman Allah:
“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta benda anak-anak
yatim secara aniaya, sebenarnya mereka menelan api ke dalam perut-perut
mereka, dan mereka nanti akan dihumban ke dalam neraka yang benama
Sa’ir.”
(an-Nisa’: 10)
FirmanNya lagi:
“Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan
tinggalkanlah sisa-sisa dari riba, jika kamu sekalian sebenarnya
orang-orang Mu’min.”
(al-Baqarah: 278)
Seterusnya Allah berfirman lagi:
“Jika kamu sekalian tidak mengerjakan, maka izinkanlah dengan peperangan dari Allah dan RasulNya.”(al-Baqarah: 279)
Dan firmanNya:
“Jika kamu bertaubat, maka bolehlah kamu mengambil semula pokok harta
kamu.” (al-Baqarah: 279
FirmanNya lagi:
“Dan barangsiapa mengulangi lagi, maka mereka itu adalah ahli-ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”(al-Baqarah: 275)
“Dan barangsiapa mengulangi lagi, maka mereka itu adalah ahli-ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”(al-Baqarah: 275)
Allah s.w.t. telah menjanjikan pemakan riba pada permulaan kalinya
dengan peperangan dari Allah, dan pada pengakhirannya dengan ancaman
masuk neraka. Ayat-ayat yang berhubungan dengan perkara yang halal dan
haram amat banyak sekali.
Ibnu Mas’ud r.a telah meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. katanya:
“Mencari yang halal itu adalah wajib atas setiap Muslim.”
Setengah para ulama mentafsirkan Hadis berikut:
“Menuntut ilmu pengetahuan wajib atas setiap Muslim.”
Maksudnya menuntut ilmu yang boleh membedakan yang halal dan yang haram. Nyatakan maksud dari kedua Hadis tersebut itu sama.
Apabila disebutkan kepada Rasulullah s.a.w. tentang orang yang amat memberatkan urusan keduniaan, baginda bersabda:
“Betapa banyaknya orang yang rambutnya kusut-masai, badannya berdebu
lantaran terlalu lama dalam pelayaran, makanannya dari yang haram dan
pakaiannya dari yang haram, dan perutnya dipenuhi dari yang haram,
diangkatkan kedua tangannya seraya berdoa: Wahai Tuhan! Wahai Tuhan!
Bagaimana boleh Tuhan mengabulkannya.”
Bersabda Rasulullah s.a.w lagi:
“Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka api neraka lebih utama baginya.”
Dari Atsar atau cerita-cerita para sahabat di antaranya:
Diceritakan bahwa Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. pada suatu hari
telah minum susu dari usaha seorang hamba sahayanya, kemudian tergerak
hatinya untuk bertanya kepada hamba sahaya itu. Dia berkata: Susu itu
diberikan kepada saya, setelah saya meramalkan sesuatu pada sekelompok
manusia. Maka Abu Bakar pun memasukkan jarinya ke dalam mulut dan
menggorek anak tekaknya untuk memuntahkan susu tadi. Saya lihat Abu
bakar kemudian muntah-muntah, sehingga saya sangka isi perutnya seperti
kehendak terkeluar. Sesudah itu, Abu Bakar berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku!
Aku memohon keampunan terhadap apa-apa yang telah mengalir dalam
urat-urat apa-apa yang telah bercampur aduk di dalam tali perut.
Peristiwa serupa ini pernah juga berlaku kapad Umuar Ibnul Khattab
apabila belian tersalah minum dari susu unta sedekah. Belian juga
mencucuk anak-tekaknya dengan jari sehingga termuntah-muntah.
Sahal at-Tasturi berkata: Seseorang itu tidak akan mencapai keimanan yang hakiki sehingga ada padanya empat perkara berikut:
(1) Menunaikan segala fardhunya dengan diiringi sunnat-sunnat
(2) Memakan yang halal dengan penuh kewara’an
(3) Menjauhi segala larangan Allah lahir dan batin
(4) Bersabar dalam keadaan serupa itu sehingga akhir hayat.
Bisyr al-Hafi r.a. adalah salah seorang yang terkenal kewara’annya.
Ia pernah ditanya; Dari mana datangnya makananmu? Jawabnya: dari Sumber
yang sama kamu mendapat makananmu. Tetapi takkan sama orang yang makan
sambil menangis, dengan orang yang makan sambil ketawa. Seterusnya ia
berkata: Ada tangan lebih pendek dari tangan yang lain, dan ada suapan
lebih kecil dari suapan yang lain.
Demikianlah keadaan mereka itu dalam menjaga diri daripa perkara-perkara yang syubhat.
Jenis-Jenis yang halal.
Ketahuilah bahwa keterangan yang halal dan yang haram itu dapat
dipelajari perinciannya di dalam kitab-kitan fiqh. Seorang murid tidak
perlu lagi kepada huraian yang lebih lengkap, sebab di situ telah pun
diterangkan mana-mana makanan yang telah difatwakan hukumnya sebagai
yang halal, dan ia tidak lagi perlu mencari makanan selain dari yang
telah ditentukan itu. Tetapi bagi orang yang memang sikapnya suka
memakan bermacam-macam makanan, maka sudah tentulah ia memerlukan untuk
mendalam ilmu agama yang menentukan mana yang dikatakan halal, dan mana
pula dikatakan haram.
Kini kita suka menunjukkan satu kesimpulan dalam pokok
pembahagiannya; iaitu sesuatu benda itu menjadi haram kerana keadaan zat
benda itu sendiri, ataupun kerana sesuatu punca dalam cara
memperolehinya.
Bahagian pertama: Adapun yang dikatakan haram kerana sesuatu sifat
pada zatnya ialah seperti arak, daging babi dan lainnya. Dan keterangan
selanjutnya, bahwasanya semua benda-benda yang dimakan yang terdapat di
atas muka bumi ini tidak terkeluar dari tiga bahagian:
(1) Merupakan benda galian (ma’din) seperti garam dan tanah atau sebagainya.
(2) Benda tumbuh-tumbuhan (nabati)
(3) Binatang
BENDA GALIAN:
Adapun benda galian itu daripada berbagai-bagai bahagian bumi dan
segala yang keluar dari bumi, maka hukumnya tidak haram memakannya,
kecuali jika ia mendatangkan mudharat bagi orang yang memakannya atau
kerana pada sebahagiannya terdapat bahan-bahan yang sama seperti racun.
Pendekkata, jika roti sekalipun bila memudharatkan orang yang memakannya
tetap haram hukumnya. Begitu juga dengan tanah, jika ada orang yang
biasa memakannya tidak haram hukum memakannya, hanya diharamkan kerana
ia boleh memudharatkan pemakanannya saja.
TUMBUH-TUMBUHAN:
Segala tumbuh-tumbuhan tidak haram hukum memakannya, melainkan yang
mempunyai unseur-unsur yang boleh merosakkan akal fikiran ataupun yang
boleh memusnahkan kehidupan, atau menganggu kesihatan. Adapun yang boleh
merosakkan akal fikiran itu seperti ganja, arak dan segala benda-benda
yang boleh memabukkan. Yang memusnahkan kehidupan pula ialah segala
jenis racun. Dan yang mengganggu kesihatan ialah memakan ubat bukan pada
masa-masa yang ditentukan. Pokok pengharaman yang disebutkan ini ialah
disebabkan ia mendatangkan kemudharatan kepada diri, kecuali arak dan
benda-benda lain yang memabukkan, maka hukumnya tetap haram sama ada ia
diminum sedikit saja, atau pun memang orang yang meminumnya itu biasanya
tidak mabuk.
BINATANG
Manakala binatang pula, maka is terbahagi kepada yang boleh dimakan
dan yang tak boleh dimakan. Keterangan lanjut mengenai binatang-binatang
ini ada disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh, sila rujuk kepadanya.
Hanya yang dikatakan binatang yang boleh dimakan itu, bila ia disembelih
dengan sembelihan yang ditunjuk oleh syariat, dengan syarat-syaratnya
yang ditentukan ke atas penyembelih, alat penyembelihan dan
tempat-tempat penyembelihan yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh.
Binatang yang bukan disembelih menurut syarat-syarat syariat, ataupun
yang mati begiti saja, adalah haram memakannya dan dikira seperti
bangkai, sedangkan memakan bangkai itu, tidak halal, kecuali bangkai
ikan dan belalang saja.
Bahagian kedua: Adapun yang dikatakan haram kerana punca
meletakkan tangan ke atasnya, yakni memperolehinya, terbahagi kepada dua
bahagian lagi:
(1) Sesuatu yang diperolehi tanpa ada pemiliknya,
seperti memperolehi galian dari tanah atau menghidupkan tanah yang mati,
memburu, mengutip kayu-kayan, mengambl air dari sungai dan memotong
rumput, maka semua ini adalah halal dengan syarat segala yang diperolehi
dari benda-benda yang tersebut tadi tidak terkhusus kepunyaan
seseorang, tegasnya tidak ada pemiliknya yang sah.
(2) Sesuatu yang diperolehi secara paksa dari
orang-orang yang tiada dilindungi oelh hukum agama, seperti fai; iaitu
harta pampasan dalam peperangan atau, ghanimah; iaitu pembahagian harta
yang diperolehi dalam peperangan. Begitu juga dengan harta kekayaan
orang-orang kafir yang masuk berperang dengan kaum Muslimin. Maka harta
benda-harta benda seumpama itu semuanya halal bagi kaum Muslimin,
setelah dikeluarkan daripadanya seperlima bahagian sebagai zakatnya,
kemudian boleh dibahagikan-dibahagikannya kepada orang-orang yang berhak
secara adil dan jujur. Harta benda yang dirampas dari orang-orang kafir
yang telah dilindungi oleh Pemerintah Islam, atau yang telah diberikan
keamanan dan perjanjian oleh Pemerintah Islam, tidak halal untuk
dimiliki, melainkan harus dikembalikan kepada yang mempunyainya.
(3) Sesuatu yang diperolehi dengan jalan tukar-menukar
dengan syarat masing-masing, maka hukumnya halal juga dengan syarat
harta warisna yang akan diwarisi itu didapati dengan cara yang halal
(bukan haram). Harta warisan itu hanya boleh dibahagi-bahagikan, setelah
ditunaikan segala piutang si mati, dan sesudah djalankan wasiat yang
ditinggalkannya terlebih dulu. Manakala pembahagiannya kepada ahli waris
pula, mestilah dijalankan dengan adil menurut syariat; iaitu sesudah
dikeluarkan hak-ahak atas si mati, seperti haji yang wajib, zakat yang
belum dikeluarkan atas hartanya dan kaffarah (denda yang mesti dfibayar)
dan sebagainya.
Masih ada lagi bahagian-bahagian yang lain, tetapii memadailah di
sini kami terangkan pokok-pokok yang penting saja. Walau bagaimanapun,
perlu bagi setiap murid mengetahui, bahwa segala yang dimakannya itu
benar-benar dari jurusan-jurusan yang diredhai Allah. Kalau tidak, maka
sewajarnya dia menanyakan seorang alim yang mengetahui tentang perkara
itu. Awas jangan sekali-sekali memberanikan diri membuat sesuatu dengan
kajahilan, sebab sebagaimana orang alim itu akan disoal: Mengapa engkau
telah menyalahi ilmumu bila melakukan sesuatu, maka orang jahil juga
akan disoal: Mengapa engkau tetap dalam kejahilanmu dan tidak mahu
belajar, sesudah engkau mengetahui bahawasanya: Menuntut ilmu itu wajib
atas setiap Muslim.
Tingkatan halal dan haram
Ketahuilah, bahawasanya yang haram itu semuanya jelek, tetapi
setengahnya lebih jelek dari setengah yang lain. Begitu juga keadaannya
dengan yang halal semuanya baik, tetapi setengahnya lebih baik dari yang
setengah, bahkan lebih suci dari setengah pula. Sebab itulah maka
darjat kewara’an orang yang menjauhkan diri dari yang haram itu
bertingkat-tingkat pula keadaannya. Ada empat tingkatan, iaitu:
(1) Wara’ dengan menjauhkan diri dari segala perkara haram yang difatwakan oleh para fuqaha.
(2) Wara’ dengan menghidarkan diri dari perkara yang syubhat kerana takut kemungkinannya berasal dari yang haram.
(3) Wara’ terhadap perkara yang tiada samar lagi
tentang penghalalannya, tetapi dikhuatiri akan menarik kepada yang
haram; iaitu seperti meninggalkan perkara yang harus dilakukan.
(4) Wara’ melakukan sesuatu yang sememangnya tidak ada
apa-apa yang menghalangnya atau tidak berdosa, akan tetapi dilakukannya
atau diperolehinya bukan kerana Allah dan tidak pula atas niat bertaqwa
kepada Allah, atau menguatkan diri untuk beribadat kepadaNya.
Diceritakan suatu peristiwa dari Ibnu Siri, bahwasanya ia telah
menolak untuk menerima dari kongsinya wang sebanyak 4,000 dirham, kerana
terlintas di dalam hatinya bahwa orang itu tidak bersih, meskipun para
alim ulama dalam zamannya telah bersepakat mengatakan bahwa tidak ada
apa-apa yang harus diragukan tentang wang tersebut.
Peristiwa yang lain diceritakan oleh setengah orang, bahwa seorang
alhli salaf harus menerime hutanganya sebanyak 100 dirham dari seseorang
yang berhutang. Apabila hutang itu mahu diselesaikan, dia hanya
menerima 99 dirham saja, dibiarkan satu dirham yang baiki pada si
putang, kerana dikhuatiri barangkali dengan menerima secukupnya 100
dirham itu nanti terdapat kelebihan dari hak yang mesti diterimanya.
Ada setengah mereka pula, bila dalam perniagaan, mereka sentiasa
menerima kurang sebutir dalam timbangan dan bila menjual mereka sentiasa
melebihkan sebutir pula.
Di antaranya ada pula yang menjaga betul-betul tentang berang-barang
atau relakan oleh orang, sama ada yang berupakan kelebihan atau
kekurangan, kerana jika telah direlakan memanglah halal hukumnya. Tetapi
dikhuatiri cara begitu akan membuka pintu, atau menjadi tabiat baginya
untuk membuat perkara yang serupa kepada orang lain, sehingga tabiat itu
menjadi biasa pula; iaitu bila memberi suka mengurangkan dan bila
menerima suka dilebihkan. Dengan begitu, tak dapat tidak jiwanya akan
jauh dari bersifat wara’.
Membicarakan tentang kewara’an lagi, ada setengah orang sampai enggan
mengambil debu dari tembok rumahnya sendiri, bila rumah itu sewaan,
kerana dikhuartiri dia tiada berhak di atas debu itu.
Pernah diceritakan dari Khalifah Umar bin Abdul Aziz, pada suatu masa
ketika beliau menyukat minyak wangi bagi kaum Muslimin, beliau menutup
hidung supaya tidak tercium baunya. Setelah selesai menyukat, beliau
lalu berujar kepada orang ramai di situ: Ya bukankah minyak wangi itu
tidak ada manfaatnya selain dari baunya saja.
Cerita yang lain tentang kewara’an ialah ada seorang yang sedang
menunggu orang yang sakit tenat, lalu pesakit itu pun meninggal duni
pada malamnya. Maka berkatalah orang yang menunggu itu tadi: Kini
matikanlah lampu-lampu yang ada, kerana lampu-lampu dan minyaknya
sekarang telah berpindah milik kepada para waris.
Yang lain lagi ialah mengenai peristiwa al-Hasa bin Ali r.a. ketika
masih kecil, telah memakan sebiji kurma sedekah, maka Rasulullah s.a.w.
pun mengorek mulutnya seraya berkata: Kakh…Kakh, yakni keluarkan ia…
keluarkan ia!
Pernah diceritakan sebelum ini bahwa Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq
telah memuntahkan susu yang diberi minum oleh hamba sahayanya,
semata-mata kerana ia hasil upah dari ramalan yang dibuatnya oleh hamba
sahayanya itu. Beliau telah melakukan itu kerana takut perutnya dimasuki
sesuatu yang haram, ataupun yang haram itu akan menambah kekuatan dalam
badannya, padahal bila meneguknya beliau tiada mengetahui sumber
minuman itu dari mana, dan menurut hukum tidak wajib memuntahkannya
semula. Akan tetapi membersihkan perut dari segala yang jelek itu adalah
suatu sifat wara’ para siddiqin.
Sebagai kesimpulan mengenai perkara yang dibicarakan ini maka setiap
kali seseorang hamba itu menjaga diri dengan tegas dari yang diragukan
kebersihannya, setiap itulah bebanannya akan menjadi ringan kelak di
Hari Kiamat, dan ia akan terjauh dari neraca kejelekan, manakala neraca
kebajikannya akan menjadi lebih berata pula.
Kini andan telah mengetahui kedudukan yang sebenarnya, maka
terserahlah kepada anda untuk membuat pilihan. Anda boleh mengambil
sikap berhati-hati dan memelihara diri, ataupun boleh juga mengambil
sikap mempermudah dan meringankan. Tetapi sebaliknya hendaklah anda
berjaga-jaga kalau perkara itu bagi kepentingan diri sendiri dan tak
mengapalah dipermudahkan kalau perkara itu menyentuh kepentingan orang
lain.
Peringkat-peringkat syubhat
Bersabda Rasulullah s.a.w.
“Sesungguhnya yang halal itu telah nyata, dan haram juga telah nyata,
dan di antara keduanya perkara-perkara yang masih diragukan, yang
kebanyakan orang ramai tiada mengetahui. Orang-orang yang memelihara
diri dari perkara-perkara yang syubhat itu samalah seperti orang yang
telah melindungi agamanya dan kehormatannya. Orang yang tergelincir ke
dalam perkara-perkara yang syubhat itu akan tergelincir pula ke dalam
perkara yang haram, laksana seorang pengembala yang sedang menggembala
di sekitar tempat larangan , akhirnya ia lalai memasuki tempat larangan
itu.”
Hadis tersebut merupakan suatu nas yang menunjukkan tiga bahagian dari peringkat-peringkat hukum, iaitu:
(1) Perkara syubhat, iaitu peringkat yang paling rumit
sekali antara tiga bahagian itu. Perkara syubhat ini biasanya banyak
orang ramai tidak mengetahui, oleh itu haruslah ia diberikan penerangan
seluas-luasnya, sebab perkara yang tiada diketahui pula orang sedikit,
jadi patutlah ia dijelaskan kepada orang ramai.
(2) Perkara halal mutlak, atau halal yang sudah jelas
hukumnya iaitu perkara yang telah sunyi zatnya (bendanya) dari segala
sifat yang menyebabkan pengharaman pada benda itu, dan ia terlepas dari
sebab-sebab yang menghukumkan pengharaman atau kemakhruhannya.
(3) Perkara haram mahadh, atau haram yang sudah jelas
hukumnya; iaitu perkara yang ada padanya sifat yang mengharamkan yang
sudah tidak payah diragukan lagi, seperti arak kerana terlalu berat
pengaruhnya terhadap diri, atau air kencing kerana sudah terang
kenajisannya. Ataupun yang diperolehi dengan cara-cara yang terlarang
sama sekali oleh agama, seperti penghasilan sesuatu dengan jalan
penganiayaan atau riba atau yang seumpamanya.
Dua perkara yang halal dan yang haram itu telah jelas hukumnya.
Kemudian akan dimasukkan ke dalam dua kategori ini man yang telah
ternyata perkaranya, tetapi besar kemungkinan berubah keadaannya kelak,
dan kemungkinan perubahannya tidak ada sebab-sebab yang tertentu yang
boleh menunjukkan kepada perubahan itu. Kemungkinan yang tiada dapat
dicarikan dalilnya, sama seperti kemungkinan yang tiada pada bendanya.
Ada pun perkara syubhat itu ialah segala sesuatu yang belum jelasnya
perkaranya, umpamanya dua keyakinan yang timbul dari dua sebab yang
berkaitan dengan kedua-dua keyakinannya tadi.
Dalam persoalan syubhat ini ada beberapa hal yang harus diperhatikan, iaitu:
Pertama: Adanya keraguan pada sebab-sebab yang menghalalkan
atau yang mengharamkan. Kiranya kedua-dua kemungkinan halal dan haramnya
itu sama, maka hukumnya dikembalikan kepada hukum yang telah ada
sebelumnya, dan hukum inilah yang harus dipegang, dan tidak boleh
ditinggalkan perkaranya terbiar di dalam keraguan terus-menerus.
Kemudian andaikata suatu kemungkinan baru ditimbulkan, mengalahkan
(mengatasi) kemungkinan yang telah ada serta dibuktikan dengan
dalil-dalil yang kuat dan mu’tabar (sah), maka hendaklah dihukumkan
menurut kemungkinan yang baru yang telah mengatasinya itu.
Perkara-perkara serupa ini tidak akan jelas melainkan dengan
contoh-contoh dan dalil-dalil yang terang, maka oleh itu kami bahagikan
kepada empat bahagian:
(1) Perkara yang telah nyata pengharamannya sebelum
itu, kemudian timbullah keraguan dalam dalil atau hujah untuk
menghalalkannya. Perkara serupa inilah yang dikatakan syubhat yang harus
dijauhi dan diharamkan memberanikan diri untuk menghalalkannya.
(2) Perkara yang sudah diketahui penghalalannya lalu
timbullah keraguan dalam dalil atau hujah untuk mengharamkannya. Maka
hukumnya yang diberatkan ialah halal dan harus dipegang dengan hukum
yang tersebut.
(3) Perkara yang asalnya sudah jelas haram, akan tetapi
timbullah sesuatu sebab yang mewajibkan perkara itu menjadi halal
dengan suatu sangkaan yang kuat, sedangkan perkara itu masih juga dalam
keraguan, hanya yang patut diberatkan ialah penghalalannya. Dalam
perkara serupa ini haruslah diperhatikan sebabnya terlebih dulu. Kiranya
kemungkinan penghalalannya bersandar kepada suatu sebab yang mu’tabar
dalam hukum syariat, maka hukum yang dipilih untuknya ialah halal, hanya
menjauhinya dikira suatu kewara’an. Misalnya: Seseorang pemburu memanah
seekor buruan, tetapi binatang itu dapat melarikan diri sehingga bila
ditemui di dapati binatang itu sdudah mati, dan tidak ada tanda-tanda
lain pada badan binatang itu hanya anak panah pemburu itu saja, padahal
berkemungkinan sekali bahwa binatang itu mati kerana jatuh terhempas
atau kerana sebab-sebab lain, bukan kerana anak panah pemburu tadi. Maka
dalam hal yang serupa ini, hukum yang dipilih oleh syariat ialah halal,
kerana luka tersebab anak panah tadi adalah sebab yang lahir yang
menjadikan binatang itu mati, dan yng demikian itu telah terbukti. Jadi
diberatkan hukum matinya binatang itu kerana terkena anak panah, dan
bukan kerana sebab-sebab yang lain, dan kemungkinan matinya oleh
sebab-sebab yang lain itu masih diragukan dan tidak ada buktinya. Dalam
istilah hukum syariat, sesuatu yang telah ditentukan keyakinannya tidak
boleh ditolak dengan lahirnya keraguan yang belum tentu betul.
(4) Perkara yang sudah diketahui penghalalannya akan
tetapi timbul sesuatu yang baru dalam kemungkinan yang memberatkan
pengharamannya, bergantung atas sebab yang mu’tabar dalam syariat, maka
hendaklah ditolak hukum asalnya yang halal dan dihukumkan haram.
Misalnya: Seorang yang meneliti keadaan dua bejana, lalu dengan
ijtihadnya bersandarkan kepada sesuatu tanda yang tertentu, dia dapat
menentukan kemungkinan salah satu dari dua bejana itu mengandungi najis,
maka dalam hal serupa ini hendaklah dihukumkan haram meminum air dari
bejana itu, sepertimana diharamkan mengambil wudhu’ dari air tersebut.
Kedua: Syubhat yang timbul kerana adanya percampur adukan
antara yang halal dengan yang haram, sedangkan perkaranya tidak boleh
diperbedakan, ataupun dipisahkan antara satu dengan yang lain.
Percampuran itu ada bermacam-macam contohnya:
(1) Percampuran yang berlaku dengan bilangan yang tertentu,
misalnya seekor bangkai yang bercampur aduk dengan seekor binatang yang
disembelih, ataupun bercampur aduk dengan sepuluh ekor binatang yang
disembelih. Misalannya yang lain: Seorang saudara perempuan sesusuan
bercampur aduk dengan sepuluh orang wanita lain (yang tiada dikenali
mana satu). Inilah syubhat yang wajib dijauhi menurut ijma’ para ulama,
kerana amat sukar dan tidak ada jalan sama sekali untuk menyiasat atau
berijjtihad lagi, apatah lagi jika tanda-tandanya tidak dapat dikenali.
Menurut dasar hukum, yang bercampur aduk dengan bilangan yang
tertentu (kecil) jadilah ia seperti benda yang satu, dan kemungkinan
keyakinan penghalalanya dan pengharamannya sama sedarjat. Dengan itu
hujah untuk memberatkan penghalalannya menjadi lemah, sedangkan wajah
laranngannya dianggap lebih berat dalam kacamata syariat Islam, maka
oleh itu hukum larangannya lebih diberatkan.
(2) Percampuran haram yang desikit dengan halal yang
banyak. Misalnya: Jika bercampur seorang saudara perempuan sesusuan atau
sepuluh saudara perempuan sesusuan dengan sekelian penduduk wanita
sebuah negeri yang luas. Maka hukumnya tiadalah dilarang ia untuk
berkahwin dengan sesiapa saja yang dipilihnya dari wanita-wanita negeri
itu. Alasannya ialah kemungkinan halalnya lebih berat, dan keperluan
kepada perkahwinan pula tidak boleh ditahan. Seorang yang kehilangan
saudara sesusuannya atau adik beradiknya, atau mahramnya kerana sebab
beripar-ipar, ataupun kerana sebab-sebab lain, tiadalah wajar untuk
ditutup kepadanya pintu perkahwinan.
Begitulah pula, jika ia meyakini bahwa semua harta kekayaan dunia ini
telah bercampur aduk dengan yang haram, tidaklah wajib baginya
meninggalkan membeli barang atau memakan sesuatu, kerana yang demikian
itu akan menimbulkan kesukaran pada jiwa dan diri.
Firman Allah Ta’ala:
“Allah tiada membuat kesukaran ke atas kamu dalam perkara agama.”
(al-Haj: 78)
Perihal semacam ini pernah berlaku dalam zaman Rasulullah s.a.w.
iaitu pernah dicuri perisai dalam zamannya ataupun pernah digelapkan
sehelai baju ‘aba’ah dari harta rampasan perang, maka tiada seorang pun
yang menahan dirinya dari membeli perisai atau baju ‘aba’ah dalam dunia.
Begitu pula halnya kepada segala barang-barang curian yang lain.
Demikianlah halnya dengan keadaan Rasulullah s.a.w., baginda mengetahui
adanya orang yang ber mu’amalah dengan riba (bunga) pada hartanya,
dirhamnya atau dinarnya tetapi Rasulullah s.a.w. dan para sahabat tidak
ernah meninggalkan penggunaan dirham datu dinar sekali.
Adapun jika bercampur antara haram yang banyak dengan halal yang
banyak yang tak dapat dihitung banyaknya, iaitu sebagaimana yang berlaku
pada zaman kita ini, maka hukumnya tiadalah terlarang menggunakan
sesuatu hanya semata-mata disebabkan percampuran itu, sama ada
berkemungkinan ia dari yang haram ataupun yang halal, sehingga dapat
dikesan atau terbukti pada benda itu tanda-tanda yang menunjukkan ia itu
haram.
Jika ada oarng yang mendakwa, bahwa kebanyakann harta kekayaan pada
zaman kita ini haram, maka itu adalah suatu dakwaan yang salah dan
keliru. Mungkin dakwaan itu timbul kerana kebanyakkan manusia hari ini
telah rosak moralnya, dan mereka membanggakan keadaan itu, sekalipun
perkara ini, jarang-jarang berlaku pada sesuatu tempat yang tertentu.
Mungkin sekali kerana ia menganggap bahwa penzina-penzina dan
peminum-peminum arak telah berleluasa di mana-maa tempat, sebagaimana
berleluasanya perbuatan perkara-perkara haram yang lain, sehingga ia
mengira orang-orang yang membuat kesalahan ini lebih banyak dari yang
lainnya. Ternyata sangkaan serupa ini adalah salah, kerana mereka ini
adalah sedikit bilangannya, jika dibandingkan dengan yang lain-lainnya,
meskipun jumlahnya semakin bertambah.
Kesimpulannya, sesuatu benda itu dihukumkan halal selagi tidak ada
padanya tanda-tanda yang tertentu yang menunjukkan bahwa ia itu haram.
Ketiga: Syubhat yang sebab penghalalannya berkait dengan maksiat,
iaitu seperti berjual beli di waktu azan sembahyang Jum’at, atau
menyembelih bintang dengan pisau yang dirampas atau dicuri, atau berjual
beli ke atas barang yang sudah dibeli atau dijual kepada orang lain,
ataupun menawarkan harga yang lebih atas harga yang ditawar oleh orang
ramai. Semua ini adalah terlarang dalam cara berakad jual beli, meskipun
akad jual beli itu tidak rosak, yakni tetap sah. Hanya larangan
melakukan seumpama ini dikira sebahagian dari hukum wara’ saja, sebab
mendapatkan keuntungan dengan melakukan perkara-perkara seumpama ini
adalah makruh, sedangkan maksruh itu hampir dekat dengan haram.
Misal yang lain ialah umpamanya membuat sesuatu yang boleh menarik
kepada maksiat, seperti menjual anggur kepada pembuat arak, atau menjual
senjata kepada perompak atau lanun.
Para ulama bertelingkah pendapat dalam perkara mengesahkan penjualan
serupa itu, dan pada menentukan halalnya harga yang diterima dari
penjualan itu. Tetapi kias yang diberatkan, ialah penjualan itu saha dan
harganya halal, hanya orang yang melakukannya dikira menderhakanya
orang yang menyembelih dengan pisau yang dirampas atau dicuri, maka
penyembelihan itu tetap dikira halal. Walau bagaimanapun, si penjual itu
tetap dihukumkan menderhaka kerana di atelah menolong orang lain untuk
melakukan maksiat. Perbuatannya itu tiada bergantung sama sekali dengan
akad jual beli itu sendiri, manakala harga yang diterimanya itu
dihukumkan makruh secara berat sekali. Meninggalkan melakukan serupa
ini, dikira suatu tanda kewara’an.
Suatu peringatan
Tiada harus seseorang itu mementingkan persoalan-persoalan kewara’an,
melainkan dengan bimbingan seorang alim yang teliti. Sebab kiranya ia
melampaui batas yang ditentukan, lalu membuat sesuka hati tanpa
berpandukan kepada arahan-arahan yang tertentu, niscaya akan timbul
perkara-perkara yang membaikkan.
Orang-orang yang berlebihan-lebihan dalam kewara’an dikhuatirkan akan
termasuk ke dalam golongan mereka yang disifatkan oleh Allah Ta’ala
dalam firmanNya:
“Mereka itulah orang-orang yang sesat perjalanannya dalam
kehidupan dunia, sedang mereka menyangka bahawasanya mereka melakukan
sesuatu perkara yang baik.” (al-Kahf: 104)
Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Keutamaan orang alim ke atas orang ‘abid (banyak ibadatnya)
seperti keutamaanku ke atas orang yang paling rendah dari para
sahabatku.”
Perbahasan lanjut tentang haram dan halal.
Ketahuilah bahawasanya setiap orang yang ingin memberikan kepada anda
makanan atau hadiah, ataupun anda ingin membeli sesuatu daripadanya
atau hendak memberikan sesuatu kepadanya, tidak perlulah anda memeriksa
terlebih dulu, ataupun bertanyakan latar belakangnya, atau anda berkata
pada diri sendiri: Ini antara hal yang belum aku meyakini
penghalalannya, tak patut aku menerima sekarang, bahkan aku harus
memeriksanya terlebih dulu.
Dalam pada itu, bukanlah dalam semua hal harus mengambil sikap
seperti di atas tadi, bahkan pada setengah-setengah persoalan harus
menyelidiki dan bertanya, terutama sekali dalam perkara syubhat yang
masih diragukan. Punca keraguan itu harus ditujukan kepada orang yang
mempunyai harta itu, sama ada peribadinya masih diragukan, ataupun
kejujurannya memang sudah terkenal dengan adanya sangkaan yang
bersandarkan kepada bukti-bukti yang tertentu. Kemudian kepada harta
bendanya pula, adakah percampuran yang haram dengan yang halal, ataupun
yang haram lebih banyak dengan adanya bukti-bukti yang sah. Andaikata
yang haram lebih sedikit, ataupun pada sangkaannya memang tidak mungkin
ada yang haram pada hartanya ketika itu, maka memakan dari hidangannya
tidaklah haram hukumnya. Tetapi sewarnya ia menyiasat untuk meyakinkan
dirinya dan kalau boleh ditinggalkan lebih baik sebagai tanda kewara’an.
Pertanyaan boleh diajukan kepada tuan punya harta itu, kiranya ia
tiada terkira curang dalam usahanya. Tetapi kiranya ia memang terkenal
curang, umpamanya ia tiada mengenal jalan halal dalam mengusahakan
kekayaan, ataupun kata-katanya memang tidak dapat dipercayai, ataupun
amanahnya masih dicurigai, maka hendaklah diajukan pertanyaan itu kepada
orang lain. Apabila perkaranya diberitahu oleh seorang yang dipercayai
sekalipun seorang saja, maka berita itu harus diterima dan dipercayai.
Begitu pula, jika perkaranya diberitahu oleh orang fasik yang
kebenarannya tidak dapat disangsikan, kerana tidak ada maslahat sampai
ia boleh berbohong, maka boleh juga berita itu diterima dan dipercayai.
Sebab maksud utama berita itu, ialah keyakinan dalam diri, dan dalam
perkara serupa ini tempat yang menentukan ialah hati. Manakala hati pula
mempunyai perhatian terhadap semua gerak-geri yang tersembunyi yang
tidak dapat dijangkau oleh kuasa renungan lahiriah. Oleh itu hendaklah
diperhatikan perkara ini dengan sehalus-halusnya. Apabila hati merasa
tenang puas, maka menghindarkan diri dari perkara-perkara yang tidak
suci menjadi suatu kewajiban yang mesti.
Cara membersihkan diri dari penganiayaan kewangan.
Ketahuilah, bahwa setiap orang yang bertaubat sedang dalam tangannya
masih ada lagi harta yang bercampur aduk dengan yang haram, maka tugas
utamanya ialah membedakan yang haram dan memisahkannya tersendiri.
Sesudah itu, ada suatu tugas lain, iaitu mengeluarkannya dan
membelanjakannya. Kedua perkara ini harus diperhatikan oleh orang itu.
PERTAMA: CARA MEMISAHKAN HARTA YANG HARAM
Seorang yang bertaubat, dan dalam simpanannya ada sesuatu barang
haram yang sudah tertentu bendanya, seperti yang diambilnya dari
rampasan atau yang diamanahkan kepadanya ata sebagainya, maka perkaranya
senang sekali; iaitu hendaklah ia memisahkan benda haram itu berasingan
dan kembalikan kepada pemiliknya atau warisnya.
Sekiranya benda itu telah bercampur aduk, ataupun tidak dapat
dipisahkan, misalnya benda yang serupa bentuknya seperti biji-bijian,
mata wang, minyak; ataupun benda-benda yang boleh ditentukan seperti
rumah atau pakaian, ataupun benda-benda yang serupa jenisnya dan yang
biasa berlaku pada harta kekayaan, seperti seorang yang mendapat wang
menerusi perniagaan tetapi dia pernah berbohong dalam setengah
perniagaannya ataupun seperti seorang yang mncuri minyak lalu ia
mencampurkan minyak itu dengan minyak yang dipunyainya, demikian pula
jika dia melakukan yang sama pada biji-bijian, atau wangnya. Hukumnya
jika benda yang dicampurkan itu diketahui kadarnya, seperti dia
mengetahui bahwa separuh dari jumlah hartanya itu adalah haram, maka
wajiblah ia memisahkan kadar yang separuh lagi.
Tetapi jika ia terkeliru, maka baginya ada dua jalan:
(1) Berpegang kepada apa yang diyakininya.
(2) Berpegang kepada yang lebih diberatkan oleh sangkaanya.
Mengambil sikap yang pertama lebih utama dari segi kewara’an, iaitu
dengan memiliki hanya kadar yang sudah diyakini oleh dirinya sebagai
halal saja.
Masalah: Barangsiapa mewarisi harta pusaka, sedang ia tiada
mengetahui dari mana harta itu diperolehi oleh orang yang mewariskannya
(orang mati itu); apakah dari usaha yang halal ataupun dari usaha yang
haram dan tiada pula tanda-tanda yang menentukan perkara sebenar tentang
harta itu, maka para ulama sepakat menghukumkan bahwa harta itu halal.
Tetapi jika ia mengetahui bahwa harta itu bercampur dengan yang haram,
malangnya ia tiada mengetahui berapa kadarnya; maka dalam misal seumpama
ini hendaklah ia mengeluarkan kadar yang disangsikan haram itu setelah
ia menghalusi perkara itu. Sekiranya ia mengetahui, bahwa sebahagian
dari hartanya diperolehi secara penganiyaan, maka wajiblah ia
mengeluarkan kadar yang disangsikan itu dengan berijtihad.
Ada pula setengah ulama mengatakan, tidak wajib ia mengeluarkan
bahagian itu, dan dosanya tertimpa atas orang yang mewariskan harta itu.
KEDUA: CARA MEMBELANJAKAN HARTA YANG HARAM
Ada tiga cara dalam membelanjakan harta yang haram iaitu:
(1) Jika harta itu ada pemiliknya yang tertentu, maka
hendaklah ia diserahkan kepadanya. Jika ia sudah mati hendaklah
diserahkan kepada ali warisnya. Jika ia tidak ada di dalam negeri
(ghaib), maka hendaklah ditunggu kembalinya, ataupun dikirimkan harta
itu kepadanya. Begitu pula jika harta itu bertambah atau ada hasilnya,
maka hendaklah ia menyimpan segala faedah-faedah harta itu, sehingga
pemiliknya kembali semula ke negeri itu, di mana harta itu harus
diserahkan kepadanya.
(2) Jika harta itu tidak diketahui pemiliknya yang
tertentu, dan setelah dcari tiada ditemui pula, dan tiada juga diketahui
sama ada ia telah mati atau telah meninggalkan waris-waris yang
tertentu. Dalam hal ini tiada boleh dikembalikan kepada pemiliknya,
malah ditahan harta itu sehingga ternyata perkaranya. Atau mungkin juga
tiada boleh dikembalikan disebabkan orang yang mendakwa menjadi
pemiliknya amat banyak bilangannya, sehingga sukar hendak ditentukan
yang mana satu. Dalam misal-misal yang tersebut, sewajarnyalah harta itu
disedekahkan, sehingga tiada terbiar begitu saja, dan lenyap manfaatnya
kepada pemilik mahupun orang lain. Se-kiranya ia sendiri seorang fakir
yang berhak menerima sedekah untuk dibelanjakan atas dirinya dan atas
tanggungannya.
(3) Jika harta itu berasal dari rampasan perang,
ataupun daripada milik badan-badan yang menguruskan kepentingan kaum
Muslimin, maka hendaklah ia dibelanjakan kepada maslahat umu, seperti
membinja jamabatn-jambatan, masjid-masjid, sekolah-sekolah agama dan
jalan-jalan yang menyampaikan orang ramai ke Makkah al-Mukareamah,
ataupun yang seumpamanya, yang mana manfaatnya dapat dirasakan oleh
seumum kaum Muslimin bersama.
No comments:
Post a Comment