Segala
puji bagi Allah,Tuhan sekalian alam.Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah, Setiap
tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan
mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj
berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah
ke Madinah. Apabila
berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan
akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril
dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa:
1-.Israk
yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di
Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
2-.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud;
“Maha
Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari
Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi
sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda
(kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha
Melihat.”
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para
ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan
bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam
satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad
atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami
daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan “asra bi
‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu
malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad
S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya
rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu
firman Allah itu berbunyi “asra bi rohi ‘abdihi lailan” yang bermaksud
memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku
sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah
memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya
serentak.
Peristiwa
ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis
imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan
berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau
pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah
dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada
peristiwa ini.
Setelah
baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada
masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan
mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat
malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam
telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan
baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada
reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang
ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau
dengan tegas menyatakan :
“Benar!
Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W
mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu
maka aku tetap beriman kepadanya”. Inilah ketegasan dan keyakinan yang
tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan
rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud
pembenar.
Selain
itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai
keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah
tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para
penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat
roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam
jiwa masyarakat Islam.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebelum
berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan
dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam,
dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan
waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada
Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan
“khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama
Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang
dinamakan “Israk” itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang
perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh
malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu
(tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh
Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara
tempat-tempat berkenaan ialah:
1.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
2.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,
3.Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan),
Dalam
perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin
‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa
simbolik yang amat ajaib.
Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :
1.Kaum
yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila
dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi
dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh
Jibrail: Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan
pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang
lebih banyak.
2.Tempat
yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau
kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan
anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman
ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada
Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
3.Sekumpulan
orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan,
kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan
berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang
berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
4.Sekumpulan
orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan
secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan
bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah
orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
5.Satu
kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk
sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki
dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu
masing-masing mempunyai isteri/suami.
6.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.
7.Lelaki
yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi
ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat
menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
8.Satu
kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting
besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali
seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan
mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
9.Kaum
yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata
Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan
menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10.Seekor
lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat
dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap
besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
11.Seorang
perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan.
Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika
Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan
mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.Seorang
perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti.
Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang
mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13.Seorang
perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.
Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti
saat hari kiamat.
Setibanya
di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke
dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia
dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah
S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak
dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail:
Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai
umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );
Didatangkan
Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail
naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu
Hafzhah).
Di
Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama,
lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang
yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa
dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung
pada susu penzina perempuan.
Di
Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua,
lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di
Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi.
Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh
oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai,
termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Di
Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh
lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di
Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W,
Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada
malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah
untuk umatmu.
Suruhlah
umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH
Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku
kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar
airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH,
WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA
QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap
kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”.
Setelah
melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk
ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul
di atas Baitullah di Mekah).
Di
Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan
dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai
keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu,
sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya
berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah.
Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh
manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai
Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke
syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Di
Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke
Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib
di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah
berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu
bapanya.
Di
Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan
Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata
kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan
Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah
: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau
berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau
berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau
kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada
sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan
angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat
menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau
lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah
S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai
penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan
buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan
dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat
(surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu.
Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu
perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan
Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu
panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah
panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu)
sembahyang.
Selesai
munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian
Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada
Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang
itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima
waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari
semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj:
Rasulullah
S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis.
Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama.
Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang
kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat
ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin,
27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa’id)
Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulannya,
Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah
yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih
penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut
bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik.
Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh
yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar
sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya
peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati
benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada
melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga
adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan
peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi
sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa
Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan
kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala
telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda
Sallallahu Alaihi Wasallam.
Dengan
kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam
peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa
bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi
SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama
umat Islam)
Baitulmaqdis
dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh
Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan
berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali
kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih
bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara
kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan
menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh
saudara-saudara kita di Palestin.
No comments:
Post a Comment